projekmmoPendapat

Soalan saya untuk Khairy — Lau Weng San

6 DISEMBER — Janganlah ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin tercungap-cungap membilang penyelewengan zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sedangkan ia hanya boleh berlaku kerana kegagalan parti itu sendiri.

Janganlah Khairy tercungap-cungap membilang penyelewengan silam zaman Dr Mahathir menjadi perdana menteri sedangkan ia hanya boleh berlaku kerana kegagalan Umno menwujudkan satu ekosistem politik yang amanah, bersih dan cekap.

Saya terpegun melihat Khairy berpanjang lebar menyenaraikan satu persatu skandal dan penyelewengan yang berlaku sepanjang dua dekad Dr Mahathir menjadi perdana menteri, seolah-olah semua yang berlaku ini berpunca dan berakhir dengan individu bernama Dr Mahathir Mohamad sahaja.

Malahan amat menarik bagi saya, mengapa Khairy enggan mengaku bahawa semua yang telah berlaku itu pastinya dapat disekat daripada menjadi parah sekiranya mekanisme semak dan imbang yang berada dalam sistem pentadbiran, perundangan, kehakiman serta dalam parti Umno sendiri dapat menjalankan fungsi dan memainkan peranannya pada masa itu.

Lebih menarik perhatian saya ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi (juga bapa mertua Khairy) merupakan anggota jemaah menteri semasa Dr Mahathir memegang tampuk kepemimpinan negara antara tahun 1981 hingga 2003.

Tidakkah kedua-duanya menegur Dr Mahathir sepanjang 22 tahun ini atau mereka sekadar ikut sahaja dalam jemaah menteri?

Soalan saya kepada Khairy: Bukankah pak turut juga perlu memikul sebahagian daripada tanggungjawabnya dalam konteks yang sama?

* Lau Weng San adalah wakil rakyat DAP bagi kerusi Kampung Tunku

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.

Lagi Video di MMOTV